Semakin panjang umur seseorang, semakin berisikolah individu itu untuk menghidap penyakit nyanyuk. Ia tidak akan menyerang kesihatan tubuh badan, namun ini adalah perkara yang paling ditakuti oleh semua orang kerana ia bersangkut paut dengan memori dan fungsi akal seseorang.
Menurut sebuah kajian, satu daripada enam orang yang berusia 80 tahun ke atas akan terjebak dengan kondisi ini di mana, lazimnya memori dan ingatannya akan hilang sekaligus, termasuklah akalnya tidak dapat berfungsi dengan normal, separa sedar dan tiba-tiba mempunyai masalah untuk berkomunikasi.
Ya, memang ada rawatan yang disediakan untuk masalah nyanyuk namun, kesannya bersifat sementara dan boleh jadi tidak berkesan langsung. Adalah lebih wajar untuk kita katakan bahawa sebenarnya tiada penawar yang efektif bagi menyembuhkan nyanyuk.
“Adalah lebih baik mencegah daripada mengubati”
Wanista mahu berkongsi beberapa cara untuk mencegah penyakit nyanyuk.
#1 Jaga-Jaga Dengan BMI Tubuh
Deborah Gustafson, Pakar Epidemiologi di University of New York bersetuju bahawa BMI dan umur ada kaitan dengan kehadiran penyakit nyanyuk ini. “Mempunyai BMI yang tinggi pada umur pertengahan (30 – 60) akan meningkatkan risiko untuk seseorang menjadi nyanyuk di masa akan datang. Ini kerana sebaik seseorang terjebak dengan penyakit nyanyuk, BMI yang dimilikinya akan serta-merta menurun.
Oleh itu jaga-jaga dengan BMI tubuh. Pastikan berat badan adalah ideal dengan umur anda, jangan pula terlalu rendah dan jangan pula terlalu tinggi sehingga boleh dianggap sebagai obesiti.
#2 Makan Secara Sihat, Kawal Diet
Makan banyak bijirin, buah-buahan, sayur, ikan dan telur. Ini dapat mengurangkan risiko menghidap nyanyuk bahkan dalam masa yang sama turut menjaga kesejahteraan kardiovaskular (kesihatan saluran darah dan jantung).
Cth: Ikan yang dipanggang dengan minyak zaitun sambil ditemani hidangan sampingan salad tomato adalah hidangan sihat yang mengandungi semua khasiat penting seperti diperlukan tubuh bagi mengelak nyanyuk!
#3 Libatkan Diri Dalam Aktiviti Sosial
Jangan asyik terperuk di rumah dengan hanya menonton televisyen, bermain telefon pintar atau tidur sepanjang hari. Apabila ada masa lapang, selagi boleh, cuba pergi bersosial.
Anda boleh bersukan, bergaul dan bertukar pendapat sesama individu lain dengan menghadiri kelas-kelas keagamaan mahupun melakukan hobi bersama kumpulan yang mempunyai minat sama. Ini secara tidak langsung akan menggalakkan neuron-neuron dalam otak terus berhubung, bergerak lancar (tidak dibiarkan berkarat). Ayuh bertindak sebelum terlambat.
#4 Jaga Kesihatan Jantung
Bagi mengurangkan risiko nyanyuk, sila lihat dan pantau kesihatan jantung. Lakukan pemeriksaan tekanan jantung, diabetes dan jangan lupa ambil ubat kolesterol jika perlu agar ia dapat dikawal.
Bagi yang merokok, berhenti merokok. Perokok mempunyai 45% risiko lebih tinggi untuk menjadi nyanyuk malah hilang ingatan.
#5 Jangan Pernah Berhenti ‘Belajar’
Biarpun umur semakin tua, tiada halangan yang bisa menjadi penamat untuk anda berhenti belajar. Anda masih boleh pergi ke kelas-kelas praktikal mungkin untuk belajar menjahit, atau belajar bahasa baru.
Paling mudah, rajinkan diri untuk membaca bahan ilmiah atau biasakan diri membaca Al-Quran setiap kali selepas solat mahupun sebelum tidur, cukup satu muka surat sehari jika anda benar-benar kesuntukan masa (bagi yang beragama Islam).
Bila otak aktif memproses maklumat, ia akan terus bergerak secara normal, percayalah. Sebab itu kita lihat, jarang sungguh untuk orang yang kuat agama dan bijak pandai di seluruh dunia ini menghidap masalah pelupa atau nyanyuk.
Bonus!
Bersenamlah! Jelas Dr. Doug Brown iaitu Pengarah Kajian dan Pembangunan di Alzheimer’s Society, terdapat empat kunci utama untuk sihat tanpa nyanyuk iaitu: Bersenam, jangan merokok, amalkan diet sihat serta jaga kesihatan jantung.
Kajian Caerphilly pula menyatakan bahawa hampir 3,000 lelaki berusia 35 tahun ke atas yang sering bersenam (sekurang-kurangnya berjalan kaki lima kali seminggu) dapat mengurangkan risiko nyanyuk. Kesimpulannya, bersenam memang membantu.
Jangan terlepas pandang okay? Nyanyuk memang kelihatan klise untuk orang yang sudah berumur, namun jika anda mahu kehidupan yang tidak menyusahkan orang lain, sila berjaga-jaga kerana nyanyuk kadang-kala boleh meragut nyawa diri bahkan akan mengheret kaum keluarga dan orang di sekeliling menjadi tidak senang dengan keadaan anda. Ya, semuanya kerana otak anda sudah tidak lagi dapat berfungsi secara normal.
Selamat beramal!
Sumber : wanista.com
loading...
0 Komentar untuk "Elak Jadi Nyanyuk Bila Dah Tua Dengan Amalan Ini"