5 Cara Terbukti Berkesan Melatih Anak Kecil Berpuasa

Sudah pasti, sebagai ibu bapa, didikan Islami ingin diterapkan kepada anak-anak termasuklah dalam aspek berpuasa seawal usia kecil. Namun, bagaimanakah cara terbaik untuk melatih si kecil ini agar dapat ikut serta dalam menjalani ibadah wajib ini?




Suatu masa dahulu, kita pernah dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun kerana diserang strok haba akibat berpuasa. Kejadian itu berlaku pada tahun 2015. Hal ini sedikit sebanyak menggusarkan ibu bapa yang memiliki anak kecil tetapi mahu melatih mereka untuk berpuasa.


Sudah pasti, sebagai ibu bapa, didikan Islami ingin diterapkan kepada anak-anak termasuklah dalam aspek berpuasa seawal usia kecil. Namun, bagaimanakah cara terbaik untuk melatih si kecil ini agar dapat ikut serta dalam menjalani ibadah wajib ini? Berikut dikongsikan;

#1 – Tidak Memaksa


Ibadah puasa ini wajib bagi mereka yang sudah baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Oleh itu, perlu diingatkan tiada paksaan dalam melaksanakan kewajiban menunaikan ibadah ini kepada kanak-kanak yang masih belum baligh.

#2 – Latih Untuk Berpuasa Separuh Hari


Jika ada dalam kalangan ibu bapa berhasrat untuk melatih anak-anak kecil untuk ikut serta berpuasa di bulan Ramadan, bolehlah melatih mereka untuk berpuasa hanya separuh hari sahaja. Ini kerana tenaga kanak-kanak dan dewasa berbeza. Tambahan pula, sesi persekolahan mereka ada pagi dan petang.

#3 – Berikan Ganjaran


Ganjaran atau hadiah biasanya menjadi tarikan kepada kanak-kanak jika kita ingin mengarahkan mereka berbuat sesuatu, dengan syarat ia dilakukan tanpa paksaan dan perlulah mengikut kadar kemampuan anak-anak.

Namun, apabila mereka sudah terbiasa berpuasa sebaiknya sebagai ibu bapa kita memaklumkan kepada mereka bahawasanya ganjaran yang lebih baik itu hanyalah di sisi Allah SWT.

#4 – Hormati Mereka Yang Berpuasa


Ini adalah salah satu cara halus untuk mendidik anak-anak kecil agar ‘berpuasa’. Jelaskan pada mereka mengenai puasa dan hal yang berkaitan denganya.

Sekalipun anak-anak tidak berpuasa, ajarkan pada mereka untuk menghormati mereka yang berpuasa seperti tidak memakan di hadapan khalayak ramai. Secara tidak langsung, hal ini juga dapat mendidik mereka untuk turut sama menghayati ibadah puasa ini.

#5 – Seminggu Sekali Berpuasa


Jika anak-anak mampu untuk menahan dirinya daripada makan dan minum hingga terbenamnya matahari, maka bolehlah dilatih mereka ini untuk cuba berpuasa sekali seminggu terlebih dahulu. Dengan syarat, ibu bapa perlu memantau anak-anak ini sama ada mereka memang benar-benar mampu untuk berpuasa atau sebaliknya.

Apa jua cara kita melatih atau mendidik anak-anak untuk berpuasa, pastikan ianya bukanlah kerana keterpaksaan. Ini kerana dibimbangi akan berlaku perkara yang tidak diingini seperti kes di atas, seterusnya membuatkan orang bukan Islam berprasangka yang tidak baik terhadap syariat ini.

Sungguh, pensyariatan puasa itu hakikatnya adalah untuk mengajar dan melatih kita umat Islam agar sama-sama merasai penderitaan orang yang fakir, miskin kerana ketiadaan makan dan minum sepanjang harinya.

Selain itu, ibadah ini turut menyeru umat Islam untuk saling memperbanyakkan amal ibadah dan kebajikan di bulan yang mulia. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat sekalipun sedikit. Apa yang baik itu diambil, apa yang kurang itu nasihatilah dengan hikmah. Wallahua’lam.


“Syarat wajibnya puasa itu ada empat iaitu Islam, berakal, sudah baligh dan mengetahui akan wajibnya puasa.”(Kitab Al-Mausu’ah Fiqhiyyah, 2/ 9916)
loading...
0 Komentar untuk "5 Cara Terbukti Berkesan Melatih Anak Kecil Berpuasa"

 
Copyright © 2014 ISU-ISU DUNIA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info