8 Perkara yang Ramai Orang Silap Besar Mengenai Aurat Wanita Semasa Solat !!

Aurat wanita di dalam dan di luar solat adalah sama. Jika pakaian yang anda pakai semasa di luar solat menutup aurat dengan sempurna, maka ia boleh digunakan juga semasa bersolat.


Solat adalah kewajipan bagi setiap umat Islam. Ia perlu dijaga dengan sebaik-baiknya, maka kefahaman mengenainya adalah amat penting supaya solat yang dikerjakan tidak menjadi sia-sia. Antara perkara penting berkaitan solat adalah mengenai aurat semasa mengerjakannya.


Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh seorang wanita muslimah berkaitan aurat semasa solat;

#1 – Bertelekung Atau Tidak Bertelekung

Kita biasa melihat telekung digunakan wanita muslimah di Malaysia. Pada satu tahap, ada di antara kita yang berasa janggal atau pelik apabila melihat orang lain bersolat tanpa memakai telekung.

Sebenarnya, telekung hanya terkenal dalam kalangan muslimah Nusantara. Sebab itulah kita tidak melihatnya digunakan oleh muslimah di negara-negara yang lain.

#2 – Aurat Di Dalam Dan Di Luar Solat Adalah Sama

Oleh itu, jika pakaian yang anda pakai semasa di luar solat menutup aurat dengan sempurna, maka ia boleh digunakan juga semasa bersolat.

Ini memudahkan mereka yang bermusafir juga kerana kesukaran membawa telekung pada keadaan seperti itu.

#3 – Terbuka Aurat

Aurat besar adalah dua kemaluan lelaki dan wanita manakala aurat kecil pula adalah bahagian badan selain kemaluan iaitu seperti paha, lutut, betis, dan dada. Kedua-dua istilah ini digunapakai oleh sarjana fikah.

Dalam solat, jika aurat kecil terbuka dan ditutup semula dengan segera, solat tidak terbatal. Solat terbatal kalau dibiarkan. Tapi, bagi aurat besar, solat terbatal walaupun tidak sengaja atau sekejap.

#4 – Tidak Ketat

Pada masa ini, pemakaian seluar jeans bukanlah sesuatu yang luar biasa di kalangan wanita muslimah. Jika anda mahu memakainya ketika solat, pastikan ia tidak terlalu ketat dan tidak menampakkan bahagian punggung ketika bersujud.

Pemilihan seluar yang sesuai untuk solat termasuk jeans amat mudah diperolehi pada masa ini kerana telah ada banyak pilihan yang sesuai untuk muslimah yang telah direka.

#5 – Nipis

Bagi memudahkan muslimah yang sedang bermusafir, ada direka telekung khas bagi mereka yang boleh dilipat menjadi saiz kecil dan mudah dibawa ke mana-mana. Walaupun begitu, ada sejenis kain bagi telekung ini yang amat nipis sehingga menampakkan susuk tubuh dan warna kulit pemakainya.

Antara syarat pakaian menutup aurat adalah kain yang tebal sekadar dapat menutup warna kulit daripada pandangan orang lain. Berikutan kefahaman agama yang semakin meningkat di kalangan pereka, telekung yang mesra musafir tanpa mengabaikan aurat ini juga kini boleh didapati.

#6 – Tidak Was-Was

Anda mesti yakin bahawa pakaian yang anda pakai untuk solat adalah menepati syarat menutup aurat. Buangkan semua rasa was-was. Namun, jika terbukti pakaian anda tak menutupi aurat, solat yang anda kerjakan wajib diulangi.

#7 – Muka Dan Dua Pergelangan Tidak Wajib Ditutup

Tentang kaki pula, Abu Daud ada melaporkan daripada Ummu Salamah mengenai hal ini. Menurutnya, tudung dan baju diharuskan dipakai semasa solat selagi ia menutup kedua-dua kakinya. Maka, adalah lebih baik jika kaki ditutup semasa bersolat.

Berkaitan hal niqab pula, ia adalah suatu perbuatan yang makruh di dalam solat. Oleh itu, hendaklah membuka niqab semasa hendak bersolat. Imam Nawawi menjelaskan hal ini menerusi Raudhatul-Tholibin:


“Makruh (dilarang) seorang lelaki bersolat dengan menutup muka dan seorang wanita berniqab. Begitu juga dilarang menutup mulut dengan tangan ketika bersolat, kecuali ketika menguap. Meletakkan tangan pada mulut ketika menguap adalah sunat.”

#8 – Tutup Aurat Walaupun Berada Di Tempat Yang Gelap

Solat tidak sah jika tak menutup aurat walaupun anda berada dalam bilik yang tertutup dan gelap. Namun, jika keadaan memaksa seperti anda betul-betul tidak dapat menemui pakaian atau benda untuk menutup aurat, maka hukumnya adalah harus.

Adalah dinasihatkan juga supaya anda tidak sujud atau rukuk terlalu lama dalam keadaan ini untuk mengelakkan terlihat aurat besar.

Rujukan: Anda Bertanya, Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Rohidzir, Rais, PTS Islamika
loading...
0 Komentar untuk "8 Perkara yang Ramai Orang Silap Besar Mengenai Aurat Wanita Semasa Solat !!"

 
Copyright © 2014 ISU-ISU DUNIA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info