Rasulullah ﷺ sentiasa mengamal dan membaca 10 ayat terakhir daripada
surah Ali Imran selepas bangun daripada tidurnya. Maka setiap muslim
digalakkan untuk menteladani dan mengamalkan apa yang telah Baginda ﷺ
contohkan terutama ketika bangun untuk solat Tahajjud dalam usaha memulia dan menghidupkan sunnahnya.
.
.
.
Maksud Surah Ali Imran: Ayat 191 – 200
.
(191)
Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam
keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan
bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Dikau menciptakan ini
dengan sia-sia, Maha Suci Dikau, maka peliharalah kami dari azab
neraka.
(192)
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya sesiapa yang Dikau masukkan ke dalam
neraka, maka sesungguhnya Dikau telah menghinakannya, dan tidak ada bagi
orang-orang yang zalim seorang penolongpun.
(193)
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru
kepada iman, (iaitu): “Berimanlah kamu kepada Tuhanmu”, maka kamipun
beriman. Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah
daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta
orang-orang yang banyak berbakti.
(194)
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Dikau
janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Dikau hinakan
kami pada hari kiamat; sesungguhnya Dikau tidak memungkiri janji”.
(195)
Maka Tuhan mereka memperkenankan doa mereka (dengan firmanNya):
“Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal di
kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu
(adalah keturunan) dari setengahnya yang lain. Maka orang-orang yang
berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada
jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku-hapuskan
kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam
syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sebagai pahala di sisi
Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang baik”.
(196) Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.
(197)
Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah
Jahannam; dan Jahannam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.
(198)
Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya, bagi mereka syurga
yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya
sebagai tempat tinggal (anugerah) dari Allah. Dan apa yang di sisi
Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti.
(199)
Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada
Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga
(kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada
Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang
sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya
Allah amat cepat perhitungan-Nya.
(200)
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan tingkatkanlah
kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kepada Allah supaya,
kamu berjaya.
.
.
Daripada Ibnu Abbas radliyallahu anhuma, bahawa ia telah mengkhabarkan
bahawa dia pernah bermalam di rumah Maimunah isteri Nabi ﷺ (ibu
saudaranya). Dia berkata, “Lalu aku tidur dengan meletakkan kepala di
tepi bantal, sementara Rasulullah ﷺ dan isterinya berada di
tengah-tengah bantal. Kemudian Rasulullah ﷺ tidur hingga ketika tengah
malam (atau sebelum tengah malam kurang sedikit atau setelah tengah
malam lewat sedikit).
اسْتَيْقَظَ رَسُوْلُ اللهِ
صلى الله عليه و سلم فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بَيَدِهِ
ثُمَّ قَرَأَ اَلْعَشْرَ اْلآيَاتِ اْلخَوَاتِمَ مِنْ سُوْرَةِ آلِ
عَمْرَانَ
Rasulullah ﷺ bangun lalu duduk sambil mengusap bekas kesan tidur
daripada mukanya dengan tangannya. Kemudian membaca 10 ayat terakhir
daripada surah Ali Imran sehingga selesai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari,
Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah.)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
loading...
0 Komentar untuk "Amalkan Membaca 10 Ayat Terakhir Surah Ali Imran "