Ini adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya);
"Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya." Riwayat Muslim (1341)
Daripada nas di atas, jelas menunjukkan perbuatan berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah suatu yang dilarang. Ini kerana, perkataan “la” di dalam hadis tersebut merupakan “la” al-Naahiyah (larangan) yang membawa hukum haram.
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini:
“Maksud hadis ini adalah, Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua atau tiga tahun dan seumpamanya maka kewujudan anak tersebut sama seperti tidak ada orang.” Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/109).
Ini kerana, perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka.
Hal ini bertepatan dengan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” Riwayat Al-Tirmizi (2165)
Syeikh Muhammad bin Abd Al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini berkata:
“Makna hadis ini adalah: Syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berkhalwat) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan.” Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (6/320).
Maka berdasarkan beberapa dalil yang kami kongsikan di atas, dapatlah kita fahami bahawa berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah suatu perbuatan yang haram lagi ditegah.
Ini sama ada khalwat itu berlaku di taman-taman bunga, taman tasik, dalam bilik atau hotel, dan begitulah juga di dalam kenderaan seperti teksi, Uber, atau GrabCar.
Dalam isu ini, kami mendapati bahawa para fuqaha turut menyatakan beberapa keadaan yang dibolehkan untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita ajnabiyyah.
Antaranya adalah apa yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Dan dikecualikan daripada isu ini (berdua-duaan dengan bukan mahram) kesemua tempat-tempat yang terdapat padanya dharurat.
Seperti seseorang lelaki itu menjumpai seorang perempuan yang sesat di jalanan atau seumpamanya maka diharuskan kepadanya untuk menemankan wanita itu bahkan menjadi satu tuntutan kepadanya untuk melakukan hal itu sekiranya dia takutkan keselamatan wanita itu apabila ditinggalkan bersendirian.
Imam Al-Nawawi menguatkan pendapatnya di atas dengan berdalilkan hadis Umm Al-Mu’minin A’isyah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (2770) tatkala Safwan bin Al-Mu’atthal Al-Sulami menemankan Sayyidah A’isyah RA pulang ke Madinah.
Demikianlah juga kami nukilkan pendapat Al-Qadhi Abi Ya’la Al-Farra’ Rahimahullah ketika mengulas isu yang berkaitan dengan seorang Muhtasib iaitu seseorang yang melakukan hisbah.
Kata beliau, “Apabila seorang muhtasib itu melihat seorang lelaki dan perempuan berjalan di atas jalan dan tidak jelas daripada keduanya tanda-tanda yang meragukan maka dia tidak membantah ke atas mereka berdua secara kasar dan mengingkari mereka.” Rujuk Al-Ahkam Al-Sulthaniyah, Abu Ya’la (Hlm. 293).
Berdua-duaan dengan pemandu yang berlainan jantina
Berkenaan isu ini, kami mencadangkan supaya pemandu ataupun pelanggan tersebut hendaklah berusaha sebaik mungkin bagi mengelakkan perbuatan berkhalwat seperti ini berlaku di dalam kenderaan baik seperti teksi, Uber, ataupun GrabCar.
Sebagai contohnya, daripada pihak pelanggan Uber atau GrabCar maka pengguna apabila selesai menekan butang request atau book, maklumat berkenaan pemandu dari sudut jantina, nombor pendaftaran kereta, serta jenis kereta.
Maka berikut terdapat beberapa dhawabit (kriteria) yang kami kongsikan berkenaan isu ini:
Para pelanggan perkhidmatan ini boleh menekan butang cancel request sekiranya dia mendapati pemandu tersebut berlainan jantina dengannya.
Bagi pihak pemandu pula, menolak permintaan pelanggan baik lelaki atau perempuan dengan beberapa kali boleh jadi menyebabkan akaun mereka digantung oleh pihak pengurusan syarikat. Ini akan menyukarkan pemandu dari sudut pekerjaan mereka, selain
Maka kami berpendapat tidak mengapa di dalam kes ini untuk pemandu berdua-duaan bersama penumpang berlainan jantina di dalam kenderaan.
Dengan syarat penumpang itu duduk di bahagian belakang kenderaan, tidak berbual melainkan sekadar yang perlu sahaja.
Pemandu melalui jalan yang tidak sunyi agar terlindung dari sebarang fitnah.
Kesimpulan
Setelah kami meneliti isu ini dari pelbagai sudut, kami mendapati bahawa hukum berdua-duaan pemandu dengan penumpang bukan mahram di dalam kenderaan yang sama adalah tidak mengapa selama mana menepati dhawabit yang telah kami nyatakan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Nota: Artikel ini pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan dimuatkan kali pertama dalam laman web mufti wilayah persekutuan.
Ia dikemukakan bagi menjawab soalan berikut:, “Apakah hukum menaiki teksi atau perkhidmatan Uber dalam keadaan berdua-duaan dengan pemandu yang berlainan jantina iaitu bukan mahram.”
Sumber:muftiwp
loading...
0 Komentar untuk "Benarkah Bila Pelanggan Berlainan Jantina Bersendirian Naik Uber & Grab Dianggap Khalwat? Baca Penjelasan Sebenar Mufti Tentang Salah Faham Ini"