Ramai yang masih lagi terkeliru dan musykil tentang tamatnya waktu solat Isyak. ada yang mengatakan bahawa waktu solat Isyak tamat pada pukul 12 malam, kerana solat Isyak tersebut adalah solat malam dan selepas pukul 12 tiada malam lagi. Ia jadi waktu pagi. Namun begitu ada juga berpendapat waktu Isyak adalah panjang iaitu sehingga terbitnya fajar shadiq.
Masuk waktu Isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat Maghrib).
Dalam Al-Qamus disebutkan, “Malam adalah dari tenggelamnya matahari sampai terbitnya fajar shadiq atau terbitnya matahari.” Adapun dalam istilah syar’i, secara zahir malam itu berakhir dengan terbitnya fajar. Berdasarkan hal ini kita mengetahui bahawa tengah malam itu diukur dari tenggelamnya matahari sampai terbitnya fajar. Pertengahan waktu antara keduanya itulah yang disebut tengah malam sebagai akhir waktu Solat Isyak. Adapun selepas tengah malam ini bukanlah waktu pelaksanaan solat fardhu, tapi masa untuk melaksanakan solat sunnah / nafilah seperti Tahajjud. (Asy-Syarhul Mumti ‘2/115)
Walau bagamanapun waktu berakhirnya Solat Isyak ada dua pandangan di kalangan ulamak;
Pertama; Sebelum Berakhir Sepertiga Malam.
Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak lain yang berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah ﷺ tentang waktu solat.
Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah ﷺmelakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut.”(Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh).
Kedua; Sebelum Berakhir Separuh Malam.
Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah yang berdalilkan sabda Nabi ﷺ; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam.” (Hadis Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.).
Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…”(al-Mughni, 1/275).
Para ulama membahagikan waktu solat kepada dua :
1. Waktu Al-Ikhtiyariy (الإختياري)
2. Waktu Al-Idhtiroriy (الإضطراري).
Waktu Al-Ikhtiyariy
Waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isyak ialah sehingga sebahagian malam iaitu sebelum memasuki tengah malam. Waktu al-Ikhtiyariy atau waktu ikhtiar adalah waktu pilihan iaitu waktu yang diberi keluasan, kelapangan dan yang dibenarkan untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam tempoh waktu tersebut, tanpa makruh samaada di awal waktu ikhtiyari atau di akhirnya. Namun begitu yang afdhalnya waktu ikhtiyariy ini ialah masa yang perlu kita berusaha untuk mendapatkannya dan melakukannya di awal waktu.
Perkara ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ
وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ
“Dan waktu solat Isyak ialah sehingga sebahagian malam yang pertengahan.”
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut, maksud hadis ini ialah: “Waktu menunaikannya dalam waktu al-Ikhtiyariy.” (5/111)
Badan Fatwa Arab Saudi di dalam fatwa mereka menyebut:
ووقت العشاء من غيبوبة الشفق الأحمر إلى نصف الليل ، وهذا وقت الاختيار لها ، ووقت الاضطرار من نصف الليل إلى طلوع الفجر
“Waktu Isyak itu bermula dari lenyapnya awan merah (habis waktu Maghrib) sehingga pertengahan malam, ini adalah waktu al-Ikhtiyar, manakala waktu al-Idhthiror bermula dari sebahagian malam sehingga terbitnya Fajar.”(6/113)
.
.
Waktu Al-Idhtiroriy
Waktu al-Idhtiroriy ialah waktu yang tidak boleh dilewatkan solat sehingga masuk waktunya, melainkan bagi orang-orang yang berkeuzuran. Waktu al-Idhtiroriy bagi solat Isyak pula berlanjutan tempohnya sehingga sebelum terbitnya fajar sidiq.
Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz menyebut:
فإذا غاب الشفق – وهو : الحمرة في جهة المغرب – انتهى وقت المغرب ، ودخل وقت العشاء إلى نصف الليل ، وما بعد نصف الليل وقت ضرورة لوقت العشاء ، فلا يجوز التأخير لما بعد نصف الليل ولكن ما بين غروب الشفق إلى نصف الليل كله وقت اختياري للعشاء ، فلو صلاها بعد نصف الليل أداها في الوقت ، لكن يأثم ؛ لأنه أخرها إلى وقت الضرورة
“Apabila telah hilangnya awan merah (awan merah sebelah barat) tamatlah waktu Maghrib dan masuknya waktu Isyak sehingga pertengahan malam. Dan apa yang selepas pertengahan malam adalah waktu al-Idhthirar (dhorurah/dharurat) bagi solat Isyak, tidak boleh melewatkan solat Isyak sehingga selepas pertengahan malam, antara hilangnya awan merah sehingga pertengahan malam itu adalah waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isyak, jika seseorang menunaikan solat Isyak selepas pertengahan malam (selepas tamatnya waktu al-Ikhtiyariy) dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya, akan tetapi dia dikira berdosa, kerana melewatkan solat Isyak sehingga masuk waktu dharurah.”(Fatwa Bin Baz 10/384)
Ini menunjukkan tidak boleh melewatkan solat Isyak sehingga habisnya waktu al-Ikhtiyariy melainkan bagi orang-orang yang berada dalam keuzuran selepas berlalunya waktu al-Ikhtiyariy.
Di antara bentuk keuzuran tersebut ialah;
1. Baru sembuh daripada sakit selepas waktu al-Ikhtiyariy.
2. Orang yang ketika itu baru tersedar daripada kelupaan.
3. Tertidur dan selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
4. Kanak-kanak yang baru sahaja baligh selepas waktu al-Ikhtiyariy
5. Orang gila yang baru sedar dari gilanya selepas waktu al-Ikhtiyariy.
6. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
7. Orang kafir yang baru memeluk Islam selepas waktu al-Ikhtiyariy.
Hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu secara marfu’:
لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ
“Seandainya tidak membebankan umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk mengakhirkan Solat Isyak hingga sepertiga atau pertengahan malam.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi no. 167, dishahihkan Al-Imam Al-Albani rahimahullahu dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi)
.
Adapun menurut Mazhab Syafi’ie; selepas Waktu Ihktiyar itu ialah Waktu Jawaz (waktu harus), iaitu waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik Waktu Ikhtiyartadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; Waktu Ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (Waktu Jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (masuk waktu subuh).
.
Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas Waktu Ikhtiyar itu ialah Waktu Daruratyang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud Waktu Darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam Waktu Darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah.
Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
Artikel Berkaitan:
- Empat Kategori Waktu Solat (Klik Di Sini)
- Waktu-Waktu Yang Dilarang Melaksanakan Solat (Klik Di Sini)
- Hikmah Saintifik Waktu Solat Dan Perubahan Warna Alam (Klik Di Sini)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
loading...
0 Komentar untuk "INFO:Bilakah Waktu Dan Tamatnya Solat Isyak?...KONGSIKAN"