'Kepada pembunuh Dan (kucing), aku doakan kau mereput di neraka'


SINGAPURA - Tergamak individu yang tidak berperikemanusiaan membunuh seekor kucing jirannya sebelum bangkainya ditinggalkan di tangga. 

Pemilik kucing berkenaan, Harleen, berkata kejadian itu berlaku di rumahnya di Bukit Batok West Ave 7, Singapura hari ini.

"Kucing saya, Dan, 10 bulan, dibunuh. Kami percaya Dan telah keluar dari rumah secara senyap-senyap dan kepalanya dipukul oleh jiran sebelum dibuang ke bawah tangga," tweetnya lima jam yang lalu. 

Menurut Harleen, selepas kucingnya dibunuh, bangkainya dibuang di tangga. Ketika ditemui, terdapat kesan pendarahan teruk di bahagian kepalanya. 

"Dan (kucing) baru berusia 10 bulan. Saya bersumpah, mana-mana individu yang tergamak membunuh Dan, saya doakan dia mereput di neraka!

"Entah kenapa Dan keluar. Kami benar-benar terkejut sebab selama ini Dan tidak pernah berani keluar dari rumah. Paling jauh pun Dan berada di rak kasut sahaja. 

"Dan hanya tinggal di rumah dan tidak pernah berjumpa dengan mana-mana kucing terbiar mahupun menganggu ketenteraman jiran yang lain," katanya. 


Difahamkan Harleen telah membuat laporan polis dan juga mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bangkai kucingnya ditinggalkan. 

"Saya tak faham, kenapa ada manusia yang tergamak melakukan perbuatan kejam seperti ini terhadap haiwan. Sedangkan Dan tidak pernah bertindak agresif. Apatah lagi nak mencakar atau menggigit orang lain," katanya. 

Sejam yang lalu, Harleen memaklumkan pihak polis sedang memeriksa rakaman CCTV dan bangkai Dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya. - The Reporter
loading...
0 Komentar untuk "'Kepada pembunuh Dan (kucing), aku doakan kau mereput di neraka'"

 
Copyright © 2014 ISU-ISU DUNIA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info