Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang di rahmati Allah..
Diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi didalam sunan-nya hadis daripada
Abdullah bin Amru, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Tiada
seorang pun daripada kalangan orang muslim yang meninggal dunia pada
hari jumaaat atau pada malam jumaat melainkan dia dipelihara oleh Allah
SWT daripada azab kubur.”
Pandangan ulama’ berkenaan taraf hadis :
Berkata Abu Isa : Hadis ini dho’if (gharib) dan sanadnya (rantaian
perawinya) tidak bersambung. Imam Ibnu Hajar Al-Athqolani pula berkata
bahawa hadis ini daripada kategori hadis dho’if.
Secara keseluruhan, kebanyakan ulama’ hadis berpendapat bahawa hadis ini
adalah hadis dho’if (lemah).Maka hadis dho’if tidak boleh dijadikan
sandaran dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah (kerana azab kubur
merupakan perkara ghaib yang wajib diimani dan merupakan sebahagian dari
pegangan aqidah umat islam).
Walaupun hadis dhoif masih lagi didalam kategori hadis yang diterima,
namun antara syarat untuk beramal dengannya adalah tidak meyakini
sepenuhnya ia datang dari Nabi SAW. Dalam erti kata yang lain, kita
tidak boleh meyakini 100% bahawa orang yang meninggal dunia pada hari
Jumaat atau pada malam Jumaat akan dipelihara oleh azab kubur merujuk
kepada taraf hadis tersebut.
Kerana sesungguhnya apa yang membantu seseorang muslim itu didalam kubur
nanti adalah amalannya, bahkan ramai daripada kalangan Sahabat
-radhiallahu ‘anhum- yang meninggal dunia pada hari selain daripada hari
Jumaat. Saidina Abu Bakar r.a sendiri meninggal dunia pada hari selasa
menurut satu riwayat akan tetapi beliau sendiri telah dijanjikan syurga
baginya.
Sebahagian ahli ilmu pula manjadikannya sebagai tanda-tanda husnul khatimah bersandarkan kepada hadis ini.
Maka seadil-adil pegangan dalam perkara ini adalah sekiranya muncul
tanda-tanda seperti ini maka sebagai seorang muslim kita tidak boleh
mengatakan secara pasti bahawa si mati dijauhkan dari azab kubur, akan
tetapi tidak salah untuk merasa tenang dengan pemergiannya pada hari
yang mulia ini,
Begitu juga sebaliknya, kita tidak boleh berkeyakinan bahawa jika tidak
muncul tanda-tanda husnul khatimah (meninggal dunia pada hari Jumaat
atau malam Jumaat) pada si mati, maka secara pasti dia bukan daripada
kalangan orang-orang soleh dan dikenakan azab kubur kerana perkara ini
tergolong dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah
SWT sahaja.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Luqman ayat ke 24 :
“Sesungguhnya hanya disisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam Rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok, dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui dibumi mana dia akan mati.Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Sesungguhnya manusia tidak mengetahui dimana dan bila dia akan mati
kerana ilmu tentang kematian milik Allah SWT secara mutlak.Oleh sebab
itu,yang lebih penting bagi seorang hamba itu adalah beramal dengan amal
yang soleh serta mencari keredhaan-Nya dalam setiap perkara yang
dilakukan. Wallahua’lam.
loading...
0 Komentar untuk "SUBHANALLAH..!! Inilah Keistimewaan Hamba Allah Yang Meninggal Dunia Pada Hari Jumaat Atau Malam Jumaat. "