Nampaknya kini kadar perceraian pada usia senja adalah semakin meningkat dan begitu membimbangkan di mana dalam perincian yang dikeluarkan di negeri Terengganu kebanyakan kes cerai kini berpunca daripada pertemuan semula dengan rakan lama, selain kecurangan pasangan, lapor Berita Harian.
Pegawai Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh berkata, kes perceraian dalam kalangan warga emas semakin meningkat dan menjadi trend sejak lima tahun lalu, dengan kebanyakannya berusia antara 60 hingga 70 tahun.
"Kebanyakan mereka datang menjalani sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum memilih perceraian sebagai kata putus.
"Sebahagian besar mereka juga memilih perceraian pada usia berkenaan dengan alasan menangguh berbuat demikian kerana komitmen anak, walaupun berdepan masalah sejak awal.
"Jika dahulu memang jarang yang bercerai pada usia senja, tetapi kini masalah itu semakin meningkat. Kebanyakan mereka mendakwa sudah lama mahu bercerai tetapi tidak berbuat demikian kerana komitmen anak dan mengambil keputusan bercerai selepas semua anak sudah bekerja dan berkahwin," katanya.
Tahun lalu sahaja sebanyak 2,245 kes perceraian direkodkan dengan kebanyakannya berpunca daripada kisah lama atau pun cinta zaman muda iaitu mereka berjumpa semula dalam 'reunion' dan bertemu kekasih lama, selain penyebaran maklumat kecurangan pasangan melalui aplikasi WhatsApp.
"Kira-kira 200 kes perceraian dilaporkan setiap bulan sepanjang tahun lalu dan kebanyakannya berpunca daripada masalah pasangan yang didakwa tidak bertanggungjawab.
"Tetapi, trend terbaharu juga merekodkan jumlah tinggi kalangan pasangan yang bercerai kerana mahu berkahwin dengan kekasih lama selepas perjumpaan menerusi program pertemuan semula yang mereka ikuti," katanya.
Mohd Ariffin menasihatkan supaya pasangan yang melalui perkara ini tidak bertindak terburu-buru dengan mengambil keputusan bercerai selepas melihat kecurangan pasangan melalui laman sosial atau aplikasi WhatsApp, sebaliknya perlu menyiasat secara terperinci dan hadir ke sesi kaunseling sebagai langkah perdamaian dan mengelak perceraian. - Siakapkeli.my
loading...
0 Komentar untuk "Trend Terbaru Kes Cerai Kini Adalah Kerana Mahu Berkahwin Dengan Kekasih Lama - JHEAT"